Rabu, 10 Ogos 2011

Rogol: Warga emas dijel 10 tahun




KOTA BHARU – Seorang warga emas berusia 75 tahun dijatuhi hukuman 16 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Tawang, Bachok, bulan lalu.

Dollah Senik turut dikenakan lapan kali sebatan rotan sejurus disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Hakim Irwan Suainbon dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah jenayah seksual bagi mencerminkan kesalahan serius yang dilakukan.

Katanya, kesalahan tertuduh dipandang begitu serius berikutan ia melibatkan seorang kanak-kanak yang hanya baru berusia 10 tahun 8 bulan ketika kejadian.

“Tindakan kamu itu sudah merosakkan masa depan kanak-kanak tersebut dan hukuman ini sebagai pengajaran serta amaran kepada kamu termasuk anggota masyarakat lain supaya tidak lagi berbuat perkara sama,” katanya.

Pada prosiding semalam, fakta kes mengatakan tertuduh yang dikenali mangsa dengan panggilan ‘Pok Loh’ bersama seorang lagi rakan tertuduh, ‘Pok Min’ menahannya ketika berjalan menuju rumah kawan berhampiran bersama kakak beliau.

Menurut fakta tersebut, mangsa ditarik Pok Loh sementara Pok Min menarik kakak mangsa masuk ke dalam rumah Pok Min di alamat tanpa nombor, Kampung Beris Gajah Mati pada jam 2 petang, 27 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, Dollah menarik mangsa masuk ke dalam sebuah bilik sebelum bertidak menolaknya ke atas katil serta menanggalkan pakaian seterusnya merogol kanak-kanak itu.

Berikutan itu, duda tujuh anak itu dikenakan hukuman berkenaan berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum, semalam. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Riffin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan