Memaparkan catatan dengan label sinar harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sinar harian. Papar semua catatan

Selasa, 30 Ogos 2011

Unit Selamat Akidah sentiasa bersedia

SHAH ALAM - Unit Selamat Akidah sentiasa peka terhadap aduan dan sedia membantu penganut Islam bagi menyelamatkan akidah dan maruah daripada tergadai.

Buktinya, beberapa pegawai unit itu, melayan dengan baik dan mengangkat panggilan telefon serta tidak lokek berkongsi maklumat ketika dihubungi Sinar Harian, walaupun ketika itu mereka telah kembali ke kampung halaman masing-masing.

Mereka juga agak terkejut dengan penyamaran dilakukan wartawan Sinar Harian, bagi menguji tahap keberkesanan unit yang ditubuhkan di bawah portfolio Exco Selangor, Datuk Hasan Muhammed Ali itu.

Pegawai Unit Selamat Akidah, Al-Hafiz Abdul Wahab berkata, pihaknya sentiasa bersedia bertindak, sekiranya mendapat maklumat mengenai isu murtad.

“Kami di Unit Selamat Akidah akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesempitan hidup. Objektif utama unit ini ditubuhkan ialah untuk mencegah murtad dan perkara yang menjurus ke arah itu.

“Kami bertindak mengikut arahan Datuk Hasan, pada saya, apa yang diketengahkan beliau adalah paling tepat dan ini adalah, inisiatif bersesuaian dengan keadaan dialami umat Islam kini,” katanya.

Seorang lagi pegawai unit berkenaan, Wildanul Syukri berkata, mungkin terlalu awal untuk memberikan maklum balas yang diterima mengenai unit ini dan meminta Sinar Harian menunggu tempoh yang sesuai dan mendapatkan ulasan daripada Hasan sendiri.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Jangan beli tiket palsu




KOTA BHARU - Berhati-hati tiket palsu! Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tiket bas palsu yang berkemungkinan dijual pihak tertentu atau ulat tiket bertujuan mengaut keuntungan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Abd Ghani Che Kassim berkata, dalam usaha pihak berkuasa mengelak fenomena penumpang terkandas menjelang musim perayaan.

Beliau berkata, penumpang yang memilih perkhidmatan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman wajar memastikan tiket yang dibeli sah.

“Bas catar yang biasa digunakan pengusaha untuk menampung masalah kekurangan bas lebih cenderung menggunakan bas persiaran atau bas institusi pengajian tinggi sebagai bas tambahan setiap kali tiba musim perayaan.

“Bas ini mempunyai permit catar yang boleh mengambil penumpang di semua laluan dengan syarat perlu ada senarai penumpang dan jadual destinasi, senarai ini pula biasanya ada pada ketua rombongan,” katanya kepada pemberita selepas Program Tabung Insaniah Harapan JPJ Kelantan di Sekolah Kebangsaan Sabak, di sini, kelmarin.

Dalam majlis berkenaan, seramai 35 murid yatim dan anak miskin serta 10 warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan penduduk sakit menerima sumbangan daripada Tabung Insaniah Harapan JPJ Kelantan.

Abd Ghani berkata, bagi bas tambahan dari bas sekolah atau bas kilang ia mempunyai Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang permitnya dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau mengingatkan supaya orang ramai mendapatkan tiket bas pada kaunter sah dan elak membeli tiket daripada ulat tiket bagi kes penumpang bas terkandas berulang.

Bagi Ops Aidilfitri 2011 yang dilancarkan sejak 14 Ogos lalu, sejumlah 1,091 kenderaan diperiksa termasuk bas, 146 diambil tindakan, 187 jumlah kes dan 165 saman dikeluarkan sehingga 22 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, 140 bas diperiksa di depoh, 137 bas diperiksa di terminal, lapan saman tiada lesen memandu, 28 kes cukai jalan tamat dan 75 bagi kesalahan lain.

Menangisi murtad dan zakat -salah siapa

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’.

Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Sedih
Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat.

Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya.

Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.
Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja.

Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi.

Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya.

Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.


Tangkap
Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja.

Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.
Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya.

Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.
Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini.

Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.
Semasa saya menziarahinya –tanpa notis awal- dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan.

Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.


Salah Siapa?
Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.
Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran.

Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.


Zakat
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi.

Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar.

Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.
Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat.

Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):
“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.

Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.( Surah al-Baqarah ayat 273)
Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.:
“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah).
Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

Dipetik daripada blog Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Bersih sambut baik rancangan SPR

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyambut baik pendirian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa mereka akan mempertimbangkan semula secara serius penggunaan dakwat kekal.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, keputusan itu menunjukkan SPR kini mula memikirkan cara terbaik bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

“Kita harap mereka akan merealisasikan apa yang diperkatakan itu kerana sebelum ini dalam setiap sesi dialog bersama orang ramai, mereka tidak pernah menjawab dengan jelas persoalan berbangkit terutama mengenai sistem biometrik.

“Antara persoalan ditimbulkan ialah mengenai proses pelaksanaan, prosedur yang perlu dilalui dan keselamatan sistem itu sama ada terjamin dan mampu mengatasi pengundi hantu,” katanya.

Maria Chin berkata, sekiranya SPR mengakui pelaksanaan sistem biometrik akan menelan belanja yang besar, mengapa suruhanjaya itu masih berdegil mahu melaksanakan sistem ini.
“Dalam kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof sendiri mengatakan kos pelaksanaan sistem ini amat mahal, jadi, mengapa mahu guna juga?

“Dalam hal ini kita nampak perbezaan pendapat dalam kalangan SPR sendiri dan kita harap mereka dapat sepakat untuk membuat satu keputusan jelas bagi mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilakukan SPR ialah membersihkan daftar pemilih kerana selagi ia tidak dibersihkan, selagi itulah rakyat tidak akan yakin terhadap pendekatan yang digunakan badan bebas itu.

“Bersesuaian dengan tuntutan Bersih 2.0, kita percaya mereka boleh melaksanakan pembersihan daftar pemilih bukan sahaja kepada pemilih yang telah meninggal dunia, malah mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi tetapi secara automatik didaftarkan tanpa sedar,” katanya.

Khamis, 25 Ogos 2011

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlam Lazim

Perogol diburu polis


KOTA BHARU – Memerhatikan dan mengacukan pisau ke leher serta kemudiannya mengikat mangsa sebelum dirogol dengan rakus menjadi modus operandi seorang lelaki berusia 20-an menodai gadis-gadis sunti di beberapa daerah di negeri ini.

Sehubungan itu, pihak polis kini sedang giat memburu lelaki berkenaan yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan 19 kes rogol membabitkan daerah Kota Bharu, Tanah Merah dan Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlam Lazim berkata, perogol bersiri itu dikatakan menjadikan pelajar dan pekerja wanita yang tinggal di asrama sebagai sasarannya.

“Suspek akan memerhatikan mangsa terlebih dahulu, selepas mendapati mangsa bersendirian, suspek meluru masuk ke dalam asrama seterusnya mengikat mangsa.

“Dia kemudian menggunakan pisau di rumah gadis terbabit untuk mengugut supaya mendiamkan diri lalu merogol mereka,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, sebarang tali termasuk wayar telefon dan tudung yang dijumpai di rumah mangsa akan digunakan suspek untuk mengikat sasarannya itu.

“Perlakuan jenayah seksual lelaki berkenaan dikesan aktif sejak setahun lalu dan setakat hari ini (semalam) polis menerima 16 laporan berkaitan dari Kota Bharu dan satu masing-masing di Tanah Merah dan Tumpat,” katanya.

“Terbaru adalah kes di Tanah Merah dan berdasarkan maklumat mangsa, wajah suspek berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai berhampiran,” katanya.

Susulan itu, beliau mengingatkan mereka yang tinggal di asrama supaya lebih berhati-hati serta sentiasa mengunci pintu rumah bagi menghalang suspek daripada masuk ke asrama mereka.

“Jika terlihat individu mencurigakan, segera laporkan kepada pihak polis dan orang awam yang mempunyai maklumat tentang suspek boleh menghubungi talian 017-6900714 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Datuk Omar Mohamad, ADUN Perupok

Jimat-cermat sambut raya


BACHOK – Sambutan hari raya sebuah keluarga nelayan dekat sini, hanya ala kadar memandangkan pendapatan ketua keluarga mereka hanya RM400 sebulan.

Rohaniah Mamat, 40, berkata, tahun ini sambutan hari raya ala kadar dan persiapan pakaian anak-anaknya dijahit sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan.

Menurutnya, pendapatan suaminya, Adnan Jaafar, 42, sebagai nelayan tidak mencukupi untuk persiapan meriah seperti keluarga lain.

“Pendapatan suami sebagai nelayan tidak mencukupi, untuk anak kami seramai enam orang yang berusia di antara tujuh sehingga 19 tahun.

“Kami perlu berjimat cermat dan berbelanja ala kadar untuk menghadapi hari raya ini, dan saya jahit sendiri baju anak-anak kerana kos menjahit baju agak mahal bagi kami dari keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Sinar Harian semalam, selepas menerima sumbangan beras Al-It’am daripada Adun Perupuk, Datuk Omar Mohamad semalam.

Katanya, dengan sumbangan beras itu juga dapat meringankan beban kewangan keluarganya dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah kali keempat saya menerima sumbangan beras ini, dan saya berterima kasih kepada wakil rakyat dan Kerajaan Negeri yang menyumbangkan keperluan beras untuk kami penduduk kurang berkemampuan di Bachok,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, seramai 180 penduduk DUN Perupuk menerima sumbangan beras Al-It’am termasuk Rumah Anak Yatin Salimah (RAYS).

Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Ulama bukan ‘penumpang’

SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak.

Ketua Penerangan Pas, Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘peman­du’ kepada kepemimpinan.

Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri.

“Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranan­nya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan peng­iktirafan itu, segala pandang­an dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Audi­torium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam.

“Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya.

Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu.

“Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya.

“Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golo­ngan beramanah dalam ilmu,” katanya.

Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah.

Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi peng­iktirafan kepada ulama.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria

‘Nasihat saya jangan pecat Anwar ditolak’


SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri supaya tidak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini katanya, kerana tindakan memecat Anwar hanya akan menyebabkan orang Melayu berpecah belah kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu diketahui mempunyai ramai penyokong.

“Semasa saya pergi ke pejabat Perdana Menteri, saya jumpa Tun Ahmad Sarji (ketika itu Ketua Setiausaha Negara). Tun Ahmad Sarji kata dia akan beritahu PM (Mahathir). Dan selepas itu, dia kata PM tak mahu jumpa saya,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada September 1998.

Selain itu, kata Harussani, beliau juga melihat tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar tidak bersesuaian.

“Saya mahu ingatkan bahawa tuduhan liwat, jika tak bawa empat saksi, susah. Sebab itu saya mahu cadangkan kepada Dr Mahathir supaya buat rombakan Kabinet saja, turunkan Anwar daripada Timbalan Perdana Menteri kepada menteri biasa. Itu yang lebih baik.

“Sekarang, tengoklah, apa jadi pada bangsa Melayu?” katanya.

Menurutnya, dalam banyak perkara lain, Mahathir banyak memberi pertimbangan dan menerima pandangannya melainkan dalam isu membabitkan Anwar.

“Saya sanggup jumpa Perdana Menteri untuk suarakan pandangan. Sebelum itu, kepada Tun (Abdul) Razak (Hussein), tiga kali saya jumpa. Kali pertama berkaitan Thaipusam yang hanya setahun sekali tetapi di Pulau Pinang, disambut tiap-tiap bulan. Bukan itu saja, orang Hindu di Pulau Pinang berarak sampai dalam kampung Melayu walaupun dalam kampung itu hanya ada seorang saja beragama Hindu.:

“Saya jumpa Perdana Menteri, mengadu dan kemudian Tun Razak panggil Menteri Kehakiman waktu itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang terus hubungi Ketua Polis Pulau Pinang arah ambil tindakan,” katanya.

Harussani yang pada masa itu, berjawatan Kadi Besar Pulau Pinang berkata, dalam kes lain, beliau juga pernah mengadu kepada Abdul Razak, mengenai 14 tokong Buddha yang dinamakan sempena nama orang Melayu.

“Saya tunjuk gambar tokong-tokong itu kepada Tun Razak. Yang ketiga kes kongsi raya, saya beritahu dia haram kita sebut kongsi raya kita dengan perayaan agama lain. Esoknya dia buat kenyataan larang guna (istilah) kongsi raya,” katanya.

Mengenai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Harussani berkata, beliau pernah mengingatkan Perdana Menteri mengenai perpecahan orang Melayu hari ini yang menurutnya berpunca daripada pentadbiran kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Rabu, 10 Ogos 2011

Rogol: Warga emas dijel 10 tahun




KOTA BHARU – Seorang warga emas berusia 75 tahun dijatuhi hukuman 16 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Tawang, Bachok, bulan lalu.

Dollah Senik turut dikenakan lapan kali sebatan rotan sejurus disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Hakim Irwan Suainbon dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah jenayah seksual bagi mencerminkan kesalahan serius yang dilakukan.

Katanya, kesalahan tertuduh dipandang begitu serius berikutan ia melibatkan seorang kanak-kanak yang hanya baru berusia 10 tahun 8 bulan ketika kejadian.

“Tindakan kamu itu sudah merosakkan masa depan kanak-kanak tersebut dan hukuman ini sebagai pengajaran serta amaran kepada kamu termasuk anggota masyarakat lain supaya tidak lagi berbuat perkara sama,” katanya.

Pada prosiding semalam, fakta kes mengatakan tertuduh yang dikenali mangsa dengan panggilan ‘Pok Loh’ bersama seorang lagi rakan tertuduh, ‘Pok Min’ menahannya ketika berjalan menuju rumah kawan berhampiran bersama kakak beliau.

Menurut fakta tersebut, mangsa ditarik Pok Loh sementara Pok Min menarik kakak mangsa masuk ke dalam rumah Pok Min di alamat tanpa nombor, Kampung Beris Gajah Mati pada jam 2 petang, 27 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, Dollah menarik mangsa masuk ke dalam sebuah bilik sebelum bertidak menolaknya ke atas katil serta menanggalkan pakaian seterusnya merogol kanak-kanak itu.

Berikutan itu, duda tujuh anak itu dikenakan hukuman berkenaan berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum, semalam. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Riffin.

Selasa, 9 Ogos 2011

Pimpinan Pas Kelantan tidak berani bersuara: Dali UMNO

Pimpinan Pas Kelantan tidak berani bersuara: Dali


KOTA BHARU – Tindakan Pas Kelantan yang enggan masuk campur isu serbuan gereja di Selangor dengan jelas menunjukkan pemimpinnya lebih pentingkan politik kepartian berbanding menjaga kedudukan Islam.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Husin berkata, pimpinan Pas juga dilihat takut untuk menegur rakan sekutu mereka di Selangor semata-mata ingin menjaga hubungan antara mereka walaupun isu yang wujud adalah serius kerana membabitkan masyarakat Islam.

“Jika isu itu menjejaskan hubungan antara Pakatan Rakyat (PR), pemimpin Pas tidak berani tegur walaupun ia cukup serius dalam Islam.

“Apa yang ingin dipertikaikan ialah dalam isu wanita Islam menukar agama kepada Kristian, Lina Joy, Pas begitu lantang bersuara tetapi apabila timbulnya isu serbuan ke gereja ini mereka mengambil pendekatan enggan masuk campur,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Gereja Methodist yang dikatakan menjalankan dakwah kepada masyarakat Islam.

Menurutnya, walaupun seperti diketahui terdapat usaha memurtadkan masyarakat Islam berlaku dan pendedahan kes berkenaan adalah salah satu petunjuk ia memang wujud namun pemimpin Pas meletakkan sempadan dalam isu ini.

Katanya, pendirian Mursyidul Am Pas yang menyerahkan kepada kerajaan Selangor menyelesaikan isu kontroversi berkenaan kerana ia berlaku di negeri itu jelas menunjukkan beliau takut bersuara demi menjaga hubungan dalam pakatan.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata, Islam tidak meletakkan sempadan dalam isu agama dan sepatutnya bagi pemimpin Pas yang arif mengenai Islam beliau harus cepat menegur rakan seperjuangannya terutama dalam isu hangat seperti itu.

20,000 ditawar kerakyatan

20,000 ditawar kerakyatan

KOTA BHARU – Pas Kelantan mendakwa terdapat hampir 20,000 rakyat Thailand, Kemboja dan Vietnam yang masuk ke Kelantan dalam kumpulan yang ramai sejak enam bulan lalu untuk apa yang disyaki sebagai tujuan politik pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kegiatan memasukkan mereka ke negeri ini begitu aktif setiap hari di Rantau Panjang.

“Pas Pusat mendapat maklumat rakyat negara jiran itu dibawa masuk dengan bas ke negara ini sebelum dipecahkan melalui pengangkutan awam ke negeri lain dan kami juga mendapati rakyat asing ditawarkan mendapat kerakyatan Malaysia dengan syarat mereka mengundi Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 nanti.

“Perkara ini menunjukkan kerajaan terdesak untuk meningkatkan bilangan undi menyokong BN sehingga sanggup membenarkan rakyat berstatus penduduk tetap (PR) mendapat kerakyatan segera,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata demikian ketika mengulas kewujudan warga asing berstatus PR yang mendapat taraf warganegara tetap dan didaftar sebagai pengundi dalam suku kedua Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya 2011.