Jimat-cermat sambut raya
BACHOK – Sambutan hari raya sebuah keluarga nelayan dekat sini, hanya ala kadar memandangkan pendapatan ketua keluarga mereka hanya RM400 sebulan.
Rohaniah Mamat, 40, berkata, tahun ini sambutan hari raya ala kadar dan persiapan pakaian anak-anaknya dijahit sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan.
Menurutnya, pendapatan suaminya, Adnan Jaafar, 42, sebagai nelayan tidak mencukupi untuk persiapan meriah seperti keluarga lain.
“Pendapatan suami sebagai nelayan tidak mencukupi, untuk anak kami seramai enam orang yang berusia di antara tujuh sehingga 19 tahun.
“Kami perlu berjimat cermat dan berbelanja ala kadar untuk menghadapi hari raya ini, dan saya jahit sendiri baju anak-anak kerana kos menjahit baju agak mahal bagi kami dari keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Sinar Harian semalam, selepas menerima sumbangan beras Al-It’am daripada Adun Perupuk, Datuk Omar Mohamad semalam.
Katanya, dengan sumbangan beras itu juga dapat meringankan beban kewangan keluarganya dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah kali keempat saya menerima sumbangan beras ini, dan saya berterima kasih kepada wakil rakyat dan Kerajaan Negeri yang menyumbangkan keperluan beras untuk kami penduduk kurang berkemampuan di Bachok,” katanya.
Sementara itu, Omar berkata, seramai 180 penduduk DUN Perupuk menerima sumbangan beras Al-It’am termasuk Rumah Anak Yatin Salimah (RAYS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan