Jumaat, 26 Ogos 2011

Datuk Seri Najib Razak - Kibarkan Jalur Gemilang sama

'Hayati erti kemerdekaan'

http://www.1malaysia.com.my/my/blog/being-malaysian/ - Gambar ihsan dari blog 1malaysia
http://www.1malaysia.com.my/my/blog/being-malaysian/ - Gambar ihsan dari blog 1malaysia
Rakyat disaran kibar Jalur Gemilang, raikan penuh kesyukuran

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 pada tahun ini dengan pendekatan berbeza memandangkan hari penuh bersejarah itu jatuh pada Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata, sebagai rakyat Malaysia, setiap orang sewajarnya dengan penuh rasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah atau tempat kerja masing-masing, selain meraikan sambutan kemerdekaan dengan penuh kesyukuran.
“Pada tahun ini, apa kata kita renungkan apakah signifikasi hari ini kepada kita dan bagaimana setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Saya merasakan ramai daripada anda tidak menyedari bahawa anda adalah penyumbang penting terhadap pertumbuhan dan kemajuan negara kita. Anda mungkin merasakan bahawa pekerjaan anda adalah terlalu kecil dan remeh jika dibandingkan dengan ketua dan pemimpin korporat negara.

“Namun, pada hakikatnya, setiap orang di negara ini adalah sebahagian daripada tenaga kerja ekonomi negara dan masing-masing mempunyai peranan sama dalam pembentukan serta pembangunan negara,” katanya semalam dalam entri terbaru blognya, www.1malaysia.com.my bertajuk ‘Kita Rakyat Malaysia.’

Najib berkata, apa saja industri atau pekerjaan yang diceburi, setiap orang perlu sedar bahawa mereka turut memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi negara.
Sementara itu, Perdana Menteri menyampaikan wang zakat berjumlah RM612,800 kepada 1,532 penerima daripada kalangan pemandu teksi, golongan veteran, pesara polis, tentera, Pos Malaysia, balu tentera dan badan beruniform pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bagi meraikan golongan terbabit dengan kerjasama Baitulmal dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sumbangan disampaikan sendiri oleh Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan