Selasa, 9 Ogos 2011

Pimpinan Pas Kelantan tidak berani bersuara: Dali UMNO

Pimpinan Pas Kelantan tidak berani bersuara: Dali


KOTA BHARU – Tindakan Pas Kelantan yang enggan masuk campur isu serbuan gereja di Selangor dengan jelas menunjukkan pemimpinnya lebih pentingkan politik kepartian berbanding menjaga kedudukan Islam.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Husin berkata, pimpinan Pas juga dilihat takut untuk menegur rakan sekutu mereka di Selangor semata-mata ingin menjaga hubungan antara mereka walaupun isu yang wujud adalah serius kerana membabitkan masyarakat Islam.

“Jika isu itu menjejaskan hubungan antara Pakatan Rakyat (PR), pemimpin Pas tidak berani tegur walaupun ia cukup serius dalam Islam.

“Apa yang ingin dipertikaikan ialah dalam isu wanita Islam menukar agama kepada Kristian, Lina Joy, Pas begitu lantang bersuara tetapi apabila timbulnya isu serbuan ke gereja ini mereka mengambil pendekatan enggan masuk campur,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Gereja Methodist yang dikatakan menjalankan dakwah kepada masyarakat Islam.

Menurutnya, walaupun seperti diketahui terdapat usaha memurtadkan masyarakat Islam berlaku dan pendedahan kes berkenaan adalah salah satu petunjuk ia memang wujud namun pemimpin Pas meletakkan sempadan dalam isu ini.

Katanya, pendirian Mursyidul Am Pas yang menyerahkan kepada kerajaan Selangor menyelesaikan isu kontroversi berkenaan kerana ia berlaku di negeri itu jelas menunjukkan beliau takut bersuara demi menjaga hubungan dalam pakatan.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata, Islam tidak meletakkan sempadan dalam isu agama dan sepatutnya bagi pemimpin Pas yang arif mengenai Islam beliau harus cepat menegur rakan seperjuangannya terutama dalam isu hangat seperti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan