‘Mat Indera hero sebenar’
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendakwa pengganas dalam Parti Komunis Malaya (PKM), dikenali sebagai Mat Indera, yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.
Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad mendakwa, bekas Presiden Umno Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman, yang juga Perdana Menteri pertama, tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana mereka adalah pegawai British.
Menurutnya, lelaki Melayu dikenali sebagai Mat Indera yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.
Dalam rakaman video yang boleh dilayari di laman You Tube itu, Mat Sabu juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada Umno.
Transkrip penuh video tersebut berbunyi:
“Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati itu polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan yang sebenar. Yang serang Bukit Kepong itu Mat Indra (Muhammad Indera). Dia Melayu tapi semua sejarah itu ditutup.
“(Tan Sri) Jins Shamsudin buat filem, Jins Shamsudin itu orang Umno. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula penjahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung,” katanya dalam ceramah itu.
Mohamad mendakwa sejarah negara adalah bohong apabila pegawai British diangkat sebagai pejuang kemerdekaan, manakala yang melawan British menjadi penjahat.
:“Semua sejarah negara kita bohong, pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi penjahat. Siapa pegawai British? Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman itulah pegawai British. Tapi bila tiba bulan merdeka hanya mereka yang ditonjolkan. Kalau begitu Umno seorang sajalah yang merdeka, betul tidak?” katanya.
Menurut Mohamad, peristiwa sama turut berulang kepada Tok Janggut di Kelantan yang dianggap pengganas kerana menentang British.
“Tok Janggut lawan British tapi sebelum British nak bunuh dia, dia (British) hasut Sultan Kelantan untuk isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka. Bila isytihar Tok Janggut penderhaka, barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh.
“Sheikh Abu Bakar Al Baqir pengganas, Dr Burhanuddin al-Helmi pengkhianat. Kemudian, Rashid Maidin, komunis. Semua yang lawan British jahat, hak (yang) sokong British, hero. Ini pelik,” katanya.
Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula kira-kira jam 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari pelbagai sudut oleh 200 pengganas komunis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan