SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyambut baik pendirian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa mereka akan mempertimbangkan semula secara serius penggunaan dakwat kekal.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, keputusan itu menunjukkan SPR kini mula memikirkan cara terbaik bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil di negara ini.
“Kita harap mereka akan merealisasikan apa yang diperkatakan itu kerana sebelum ini dalam setiap sesi dialog bersama orang ramai, mereka tidak pernah menjawab dengan jelas persoalan berbangkit terutama mengenai sistem biometrik.
“Antara persoalan ditimbulkan ialah mengenai proses pelaksanaan, prosedur yang perlu dilalui dan keselamatan sistem itu sama ada terjamin dan mampu mengatasi pengundi hantu,” katanya.
Maria Chin berkata, sekiranya SPR mengakui pelaksanaan sistem biometrik akan menelan belanja yang besar, mengapa suruhanjaya itu masih berdegil mahu melaksanakan sistem ini.
“Dalam kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof sendiri mengatakan kos pelaksanaan sistem ini amat mahal, jadi, mengapa mahu guna juga?
“Dalam hal ini kita nampak perbezaan pendapat dalam kalangan SPR sendiri dan kita harap mereka dapat sepakat untuk membuat satu keputusan jelas bagi mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilakukan SPR ialah membersihkan daftar pemilih kerana selagi ia tidak dibersihkan, selagi itulah rakyat tidak akan yakin terhadap pendekatan yang digunakan badan bebas itu.
“Bersesuaian dengan tuntutan Bersih 2.0, kita percaya mereka boleh melaksanakan pembersihan daftar pemilih bukan sahaja kepada pemilih yang telah meninggal dunia, malah mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi tetapi secara automatik didaftarkan tanpa sedar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan