Khamis, 25 Ogos 2011

Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Ulama bukan ‘penumpang’

SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak.

Ketua Penerangan Pas, Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘peman­du’ kepada kepemimpinan.

Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri.

“Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranan­nya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan peng­iktirafan itu, segala pandang­an dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Audi­torium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam.

“Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya.

Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu.

“Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya.

“Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golo­ngan beramanah dalam ilmu,” katanya.

Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah.

Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi peng­iktirafan kepada ulama.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria

‘Nasihat saya jangan pecat Anwar ditolak’


SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri supaya tidak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini katanya, kerana tindakan memecat Anwar hanya akan menyebabkan orang Melayu berpecah belah kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu diketahui mempunyai ramai penyokong.

“Semasa saya pergi ke pejabat Perdana Menteri, saya jumpa Tun Ahmad Sarji (ketika itu Ketua Setiausaha Negara). Tun Ahmad Sarji kata dia akan beritahu PM (Mahathir). Dan selepas itu, dia kata PM tak mahu jumpa saya,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada September 1998.

Selain itu, kata Harussani, beliau juga melihat tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar tidak bersesuaian.

“Saya mahu ingatkan bahawa tuduhan liwat, jika tak bawa empat saksi, susah. Sebab itu saya mahu cadangkan kepada Dr Mahathir supaya buat rombakan Kabinet saja, turunkan Anwar daripada Timbalan Perdana Menteri kepada menteri biasa. Itu yang lebih baik.

“Sekarang, tengoklah, apa jadi pada bangsa Melayu?” katanya.

Menurutnya, dalam banyak perkara lain, Mahathir banyak memberi pertimbangan dan menerima pandangannya melainkan dalam isu membabitkan Anwar.

“Saya sanggup jumpa Perdana Menteri untuk suarakan pandangan. Sebelum itu, kepada Tun (Abdul) Razak (Hussein), tiga kali saya jumpa. Kali pertama berkaitan Thaipusam yang hanya setahun sekali tetapi di Pulau Pinang, disambut tiap-tiap bulan. Bukan itu saja, orang Hindu di Pulau Pinang berarak sampai dalam kampung Melayu walaupun dalam kampung itu hanya ada seorang saja beragama Hindu.:

“Saya jumpa Perdana Menteri, mengadu dan kemudian Tun Razak panggil Menteri Kehakiman waktu itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang terus hubungi Ketua Polis Pulau Pinang arah ambil tindakan,” katanya.

Harussani yang pada masa itu, berjawatan Kadi Besar Pulau Pinang berkata, dalam kes lain, beliau juga pernah mengadu kepada Abdul Razak, mengenai 14 tokong Buddha yang dinamakan sempena nama orang Melayu.

“Saya tunjuk gambar tokong-tokong itu kepada Tun Razak. Yang ketiga kes kongsi raya, saya beritahu dia haram kita sebut kongsi raya kita dengan perayaan agama lain. Esoknya dia buat kenyataan larang guna (istilah) kongsi raya,” katanya.

Mengenai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Harussani berkata, beliau pernah mengingatkan Perdana Menteri mengenai perpecahan orang Melayu hari ini yang menurutnya berpunca daripada pentadbiran kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Khamis, 18 Ogos 2011

FIRMAN ALLAH YANG BERMAKDUD

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rusul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,,

Surah at-Taubah : 71

Rabu, 10 Ogos 2011

Rogol: Warga emas dijel 10 tahun




KOTA BHARU – Seorang warga emas berusia 75 tahun dijatuhi hukuman 16 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Tawang, Bachok, bulan lalu.

Dollah Senik turut dikenakan lapan kali sebatan rotan sejurus disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Hakim Irwan Suainbon dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah jenayah seksual bagi mencerminkan kesalahan serius yang dilakukan.

Katanya, kesalahan tertuduh dipandang begitu serius berikutan ia melibatkan seorang kanak-kanak yang hanya baru berusia 10 tahun 8 bulan ketika kejadian.

“Tindakan kamu itu sudah merosakkan masa depan kanak-kanak tersebut dan hukuman ini sebagai pengajaran serta amaran kepada kamu termasuk anggota masyarakat lain supaya tidak lagi berbuat perkara sama,” katanya.

Pada prosiding semalam, fakta kes mengatakan tertuduh yang dikenali mangsa dengan panggilan ‘Pok Loh’ bersama seorang lagi rakan tertuduh, ‘Pok Min’ menahannya ketika berjalan menuju rumah kawan berhampiran bersama kakak beliau.

Menurut fakta tersebut, mangsa ditarik Pok Loh sementara Pok Min menarik kakak mangsa masuk ke dalam rumah Pok Min di alamat tanpa nombor, Kampung Beris Gajah Mati pada jam 2 petang, 27 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, Dollah menarik mangsa masuk ke dalam sebuah bilik sebelum bertidak menolaknya ke atas katil serta menanggalkan pakaian seterusnya merogol kanak-kanak itu.

Berikutan itu, duda tujuh anak itu dikenakan hukuman berkenaan berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum, semalam. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Riffin.

Selasa, 9 Ogos 2011

Pimpinan Pas Kelantan tidak berani bersuara: Dali UMNO

Pimpinan Pas Kelantan tidak berani bersuara: Dali


KOTA BHARU – Tindakan Pas Kelantan yang enggan masuk campur isu serbuan gereja di Selangor dengan jelas menunjukkan pemimpinnya lebih pentingkan politik kepartian berbanding menjaga kedudukan Islam.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Husin berkata, pimpinan Pas juga dilihat takut untuk menegur rakan sekutu mereka di Selangor semata-mata ingin menjaga hubungan antara mereka walaupun isu yang wujud adalah serius kerana membabitkan masyarakat Islam.

“Jika isu itu menjejaskan hubungan antara Pakatan Rakyat (PR), pemimpin Pas tidak berani tegur walaupun ia cukup serius dalam Islam.

“Apa yang ingin dipertikaikan ialah dalam isu wanita Islam menukar agama kepada Kristian, Lina Joy, Pas begitu lantang bersuara tetapi apabila timbulnya isu serbuan ke gereja ini mereka mengambil pendekatan enggan masuk campur,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Gereja Methodist yang dikatakan menjalankan dakwah kepada masyarakat Islam.

Menurutnya, walaupun seperti diketahui terdapat usaha memurtadkan masyarakat Islam berlaku dan pendedahan kes berkenaan adalah salah satu petunjuk ia memang wujud namun pemimpin Pas meletakkan sempadan dalam isu ini.

Katanya, pendirian Mursyidul Am Pas yang menyerahkan kepada kerajaan Selangor menyelesaikan isu kontroversi berkenaan kerana ia berlaku di negeri itu jelas menunjukkan beliau takut bersuara demi menjaga hubungan dalam pakatan.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata, Islam tidak meletakkan sempadan dalam isu agama dan sepatutnya bagi pemimpin Pas yang arif mengenai Islam beliau harus cepat menegur rakan seperjuangannya terutama dalam isu hangat seperti itu.

20,000 ditawar kerakyatan

20,000 ditawar kerakyatan

KOTA BHARU – Pas Kelantan mendakwa terdapat hampir 20,000 rakyat Thailand, Kemboja dan Vietnam yang masuk ke Kelantan dalam kumpulan yang ramai sejak enam bulan lalu untuk apa yang disyaki sebagai tujuan politik pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kegiatan memasukkan mereka ke negeri ini begitu aktif setiap hari di Rantau Panjang.

“Pas Pusat mendapat maklumat rakyat negara jiran itu dibawa masuk dengan bas ke negara ini sebelum dipecahkan melalui pengangkutan awam ke negeri lain dan kami juga mendapati rakyat asing ditawarkan mendapat kerakyatan Malaysia dengan syarat mereka mengundi Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 nanti.

“Perkara ini menunjukkan kerajaan terdesak untuk meningkatkan bilangan undi menyokong BN sehingga sanggup membenarkan rakyat berstatus penduduk tetap (PR) mendapat kerakyatan segera,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata demikian ketika mengulas kewujudan warga asing berstatus PR yang mendapat taraf warganegara tetap dan didaftar sebagai pengundi dalam suku kedua Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya 2011.

KAKITANGAN AWAM BONUS RAYA

Kakitangan awam dapat bonus raya
Oleh Johari Ibrahim dan Magendran Rajagopal

2011/08/09

NAJIB berbual bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis berbuka puasa anjuran Perdana Menteri dan isteri serta majlis penyampaian zakat Kumpulan FELDA di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.
NAJIB berbual bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis berbuka puasa anjuran Perdana Menteri dan isteri serta majlis penyampaian zakat Kumpulan FELDA di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.
PUTRAJAYA: Sebanyak 1.27 juta kakitangan awam akan mendapat duit raya apabila kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang dibayar pada pertengahan bulan ini.

Selain itu, kerajaan mengumumkan berita gembira untuk 590,000 pesara kerajaan yang akan menerima Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500.
Ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Pembayaran bonus dan Bayaran Khas Kewangan itu membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.
“Kerajaan berharap ia meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan serta membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam,” katanya.

Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada 30 Ogos ini. Ini adalah kali ketiga berturut-turut penjawat awam dan pesara mendapat duit raya. Pada tahun lalu dan 2009, kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada kedua-dua kumpulan itu sebelum 1 Syawal.

Kali terakhir kerajaan membayar bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam adalah pada September dan Disember 2008.
Sementara itu, Najib yang bercuti sejak 1 Ogos lalu selepas menjalani pembedahan ‘Arthoscopic’ di lutut kiri memulakan tugasnya pagi semalam.

Beliau yang tiba di pejabatnya di bangunan Perdana Putra kira-kira jam 9.40 pagi kelihatan ceria dan sihat sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dibenarkan bertugas selepas doktor berpuas hati dengan proses penyembuhannya.

Kecederaan lama Perdana Menteri berulang selepas menendang bola ketika merasmikan pertandingan futsal di Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya pada Mei lalu. Bagaimanapun, doktor menasihatkan beliau mengehadkan aktiviti harian pada waktu ini sehingga pulih sepenuhnya.

Selain melaksanakan tugas pejabatnya, Perdana Menteri hadir pada majlis berbuka puasa bersama anggota Kabinet di kediaman rasminya di Seri Perdana petang semalam.